Isnin, 12 Mac 2012

Latar Belakang



Penglibatan awal hanya sebagai sukarelawan
Rumah Perlindungan dan Anak-anak Yatim Raudhatul Jannah ini diasaskan oleh Puan Zainab binti Othman, seorang wanita kental yang ikhlas memberi perlindungan kepada anak-anak yatim di luar sana. Beliau sanggup menamatkan kerjaya beliau sebelum ini sebagai seorang bekas pelakon veteran dan juga pernah mempunyai perniagaan katering semata-mata untuk menjaga serta mendidik anak-anak yang kurang bernasib baik ini. Beliau tekad menjadikan rumah yang beliau diami ini sebagai sebuah rumah perlindungan kepada 18 orang anak yatim yang tinggal bersama-sama disini. Sehingga kini, beliau yang dahulunya juga merupakan seorang sukarelawan mampu memberi perlindungan tempat tinggal, pakaian, makan dan minum kepada anak-anak yatim ini.
 
Mengutamakan didikan agama sejak dari kecil
Seramai 7 orang penghuni lelaki dan 11 orang penghuni wanita dalam lingkungan umurnya bermula daripada 8 bulan hingga 17 tahun. Menurut Puan Zainab atau lebih mesra dipanggil Kak Nab, mereka yang bersekolah telah dihantar ke sekolah tahfiz yang berdekatan agar dapat mempelajari dan memperolehi didikan agama yang sempurna. Beliau percaya melalui didikan agama yang sempurna, kehidupan anak-anak ini kelak akan sentiasa diberkati dan mencapai kejayaan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Keadaan persekitaran yang agak terhad
Hasil lawatan pertama kami ke Raudhatul Jannah ini mendapati bahawa rumah perlindungan tersebut tidaklah seperti rumah-rumah kebajikan yang lain di sekitar ibu kota ini. Keadaan persekitaran rumah yang agak sesak dengan barang-barang yang disumbangkan oleh orang ramai terpaksa diletak di luar rumah memandangkan keadaan di dalam rumah yang agak terhad. Terdapat 4 buah bilik di rumah ini yang masing-masing dikongsi seramai 4 orang setiap satunya. Lebih menyedihkan lagi, Puan Zainab sanggup menyediakan semua bilik tersebut untuk anak-anak yatim di sana, manakala beliau memilih untuk tidur di ruang tamu sahaja.

Tidak suka meminta-minta
Selain daripada itu, kami dimaklumkan oleh Puan Zainab bahawa rumah perlindungan ini tidak menerima bantuan kewangan daripada JKM kerana menurut beliau bantuan kewangan yang ditawarkan itu amat sukar diperolehi memandangkan JKM menetapkan beberapa kriteria yang perlu dipenuhi oleh sesebuah pertubuhan sukarela kebajikan seperti rumah perlindungan ini. Menurut beliau juga, walaupun beliau tidak menerima bantuan bulanan dari mana-mana pihak berwajib, namun rezeki untuk menyara kehidupan anak-anak yatim ini tidak pernah putus kerana sentiasa mendapat bantuan dan sumbangan daripada orang ramai dan juga badan korporat. Jelas kelihatan sifat dan personaliti beliau yang tidak suka meminta-minta ini mampu membesarkan anak-anak yatim ini dengan penuh ikhlas dan kasih sayang.

Menerapkan nilai-nilai murni
Walau bagaimanapun, perhatian kami lebih tertumpu kepada kekemasan dan kebersihan yang diamalkan serta diterap oleh semua penghuni di sini. Walaupun, keadaan rumah yang agak sesak, Puan Zainab mampu mendidik anak-anak di sini agar menjaga kebersihan dan mendisiplinkan diri. Sikap dan personaliti setiap penghuni di sini yang sangat menghormati tetamu turut membuatkan kami tersentuh hati dan amat bangga dengan kewibawaan Puan Zainab yang juga digelar sebagai “ummi”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan